Thursday, 6 August 2015

PDRM BERJAYA BERKAS PENYAMUN DI IPOH



IPOH - Cubaan tiga lelaki menyamun seorang penunggang motosikal gagal selepas salah seorang daripada mereka ditangkap oleh rakan mangsa yang kebetulan tiba di Jalan Lahat- Pusing di sini, kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, lelaki berusia 40 tahun sedang menaiki motosikal telah ditahan kumpulan suspek yang menaiki kereta Proton Iswara. 
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, suspek bersenjatakan pisau dan rotan bertindak mengugut  dan merampas beg duit milik mangsa. 

“Kebetulan rakan mangsa sampai dan suspek cuba melarikan diri namun, salah seorang daripada mereka berjaya ditangkap sebelum tangkapan semula dibuat oleh anggota balai. 
“Bagaimanapun, dalam kejadian itu, mangsa kerugian sekurang-kurangnya RM200,” katanya di sini, semalam. 

Menurutnya, polis sedang melancarkan gerakan mengesan dua lagi suspek yang telah dikenal pasti berada Ipoh.


Monday, 6 July 2015

Taktik Sewa Dua Bilik Untuk Berasmara, Gagal

JITRA: Seorang pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan teman lelakinya sanggup menyewa dua bilik yang berbeza ketika mendaftar masuk sebuah motel di pekan ini, sebagai helah untuk mereka berdua-duaan dalam sebuah bilik di situ. 

Namun, helah pasangan berusia 19 tahun itu terbongkar apabila bilik yang digunakan mereka untuk berasmara diserbu sepasukan penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu, awal pagi semalam. 

Ketika serbuan jam 1 pagi itu, remaja lelaki terbabit memberikan alasan kononnya terpaksa menyewa bilik motel berkenaan kerana pasangannya tidak sempat masuk ke asrama disebabkan pintu masuk IPTA sudah ditutup.

Pemuda dari Sungai Petani itu mendakwa tidak melakukan apa-apa dengan pasangannya, sebaliknya hanya duduk berdua sementara menunggu waktu bersahur, namun keadaannya yang hanya memakai tuala ketika diserbu menimbulkan syak anggota penguat kuasa. 

Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu, Syeikh Radzi Abdul Mutalib, berkata ketika diserbu, pelajar wanita terbabit berpakaian lengkap. 

"Sebaik pintu bilik yang diketuk dibuka, seorang pemuda kelihatan terkejut mendapati kehadiran pihak berkuasa, namun membenarkan anggota bertugas masuk ke dalam bilik untuk membuat pemeriksaan. 

"Kami menemui seorang gadis dalam ketakutan dan ketika ditanya mengenai hubungan mereka, masing-masing gagal menunjukkan sebarang bukti status mereka sebagai pasangan suami isteri atau mahram yang sah. 

"Hasil maklumat, kami dapati mereka mulanya menyewa dua bilik berasingan kira-kira jam 10 malam dipercayai sebagai taktik mengaburi pihak berkuasa, sebelum pemuda itu menyelinap ke bilik pasangannya," katanya. 

Radzi berkata, pasangan itu dipercayai sudah lama berkenalan kerana masing-masing berasal dari Sungai Petani tetapi mereka kerap bertemu di sini, sejak pelajar perempuan itu melanjutkan pelajaran ke IPTA.

Kedua-duanya dibawa ke Balai Polis Jitra untuk laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat agama daerah diambil keterangan. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan jika sabit kesalahan kedua-dua mereka boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya," katanya.

BH

Monday, 29 June 2015

Bapa, Ibu Tiri Dipercayai Dera Anak Direman

KOTA BARU: Pasangan suami isteri yang dipercayai mendera kanak-kanak berusia lima tahun sejak enam bulan lalu ditahan reman empat hari.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Mahkamah Pasir Mas bermula pagi Isnin.

Terdahulu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, suspek berusia 25 dan 39 tahun itu ditahan di sebuah restoran di Jalan Bayam, di sini, kira-kira pukul 9 malam Ahad.

Kedua-dua suspek yang juga bapa kandung serta ibu tiri mangsa itu akan direman pagi Isnin.

Terdahulu, polis Kelantan giat mengesan sepasang suami isteri itu bagi membantu siasatan kes penderaan seorang kanak-kanak berusia lima tahun di Pasir Mas pada 25 Jun lepas.

Pasangan muda itu dipercayai melarikan diri ke Thailand susulan kejadian tersebut dan bersembunyi di sana.

Mazlan berkata, pihak polis juga turut bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi menangkap pasangan berkenaan secepat mungkin.

“Kecederaan mangsa serius dan kita jalankan siasatan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak dan kita akan jalankan tangkapan kepada penjaga dia iaitu bapa dan ibu tirinya," katanya.

Menurut Mazlan, kecederaan kanak-kanak berkenaan yang dikenali sebagai Nur Zuliana Zaara Mohd Mishabuddin, 5, yang beralamat di Taman Rantau Mas, Rantau Panjang, amat serius dengan kesan kecederaan lama dan baru.

Selain itu, katanya berat badan mangsa juga susut dipercayai tidak diberi makan selain kesan parut hampir di keseluruhan badan.

Pada 25 Jun lalu, seorang ibu telah membuat laporan polis mengatakan anaknya yang dijaga oleh ibu tiri serta bekas suaminya mengalami kesan kecederaan lama dan baru, kesan parut, badan kurus dan berada dalam keadaan lemah.

Mstar

Dera: Yaya Selamat Dibedah Bagi Rawat Usus Berpintal

KOTA BHARU 29 Jun - Mangsa dera, Nur Zuliana Zaara Zulkifli, 5, atau Yaya selamat menjalani pembedahan bagi merawat usus kecilnya yang didapati berpintal dipercayai akibat dipukul.

Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr. Ghazali Hasni Md. Hassan berkata, pembedahan bermula pukul 10.30 pagi dan berakhir sejam kemudian.

“Pesakit dilaporkan stabil namun dalam tempoh 24 jam berikut, dia tidak boleh makan. Setakat ini, kita tidak benarkan sesiapa jumpa pesakit kecuali ibu kandungnya sahaja," katanya dalam sidang akhbar di HRPZ II di sini hari ini. - 

UTUSAN ONLINE